IPOH – Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri yang bakal diadakan di pekarangan Stadium Perak di sini esok akan diteruskan seperti dirancang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun beberapa kemudahan termasuk khemah untuk program itu rosak akibat hujan lebat dan angin kencang, ia tidak menjejaskan pelaksanaan program berkenaan.
Malah katanya, pelbagai agensi dan jabatan kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk membaik pulih kelengkapan yang rosak.
“Rakyat Perak tidak perlu bimbang, program ini akan diteruskan esok. Kita jemput semua datang beramai-ramai menyaksikan perarakan,” katanya ketika meninjau kesan kejadian ribut di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini.
Terdahulu, persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri di pekarangan Stadium Perak di sini esok, terjejas akibat hujan lebat dan angin kencang.
Kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu mengakibatkan beberapa buah khemah termasuk khemah di pentas utama rosak ekoran diterbangkan angin.
Malah, berdasarkan rakaman video dan gambar tular, beberapa pokok di sekitar kawasan stadium turut tumbang.
Hujan lebat beserta ribut dan petir itu juga mengakibatkan bumbung premis perniagaan di Ipoh Night Market runtuh hingga menyebabkan kerosakan tempat berniaga. – KOSMO! ONLINE