ALOR SETAR – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan esok, lebih 200 penduduk Alor Setar menelusuri Sungai Kedah dengan 66 bot yang lengkap dihiasi Jalur Gemilang serta bendera negeri Kedah, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani, pihaknya menganjurkan program tersebut bagi merancakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang membawa makna besar kepada negara ini.
Selain itu katanya, program itu juga bertujuan untuk menambah semangat patriotik serta cintakan negara dalam kalangan masyarakat terutama orang muda.
“Jumlah 66 bot itu sebagai manifestasi kepada 66 tahun negara ini merdeka. Semua bot itu dihias dengan Jalur Gemilang dan perarakan ini disertai oleh masyarakat pelbagai peringkat umur.
“Kami bermula di Pelantar Seberang Pantai Johor dan berakhir di Tanjung Chali. Sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 17 kilometer itu, kami akan berhenti sebentar di Muzium Kedah untuk menyerahkan Jalur Gemilang kecil kepada pengguna jalan raya di situ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain Dzowahir, beberapa wakil rakyat termasuk Exco negeri turut menaiki bot disediakan termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan negeri, Muhamad Radhi Mat Din; Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden serta Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.
Tambahnya, pihaknya turut merancang untuk menjadikan program itu sebagai cara tahunan kerana sambutan diterima sangat menggalakkan. – KOSMO! ONLINE