KUALA LUMPUR – Dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Syria dan China di Chengdu, bulan depan jadi titik permulaan buat Harimau Malaya yang perlu berada pada tahap tertinggi untuk hadapi pertandingan sebenar.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata skuad kendalian Kim Pan Gon perlu terus mempamerkan peningkatan kerana cabaran selepas ini pasti lebih berat.
“Medan ujian buat skuad Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan adalah bermula dengan dua aksi persahabatan di China seterusnya kita akan berdepan pula India dan Palestin atau Tajikstan pada Pestabola Merdeka 2023 di Bukit Jalil pada Oktober.
“Kesemua pasukan ini kedudukan ranking mereka adalah lebih baik daripada kita. Sudah tentu ini menjadi medan ujian terbaik buat kita mempamerkan kemampuan sebenar bagi bersaing dengan pasukan terbaik di Asia,” katanya.
Selepas aksi persahabatan dan Pestabola Merdeka, November ini skuad negara akan memulakan kempen Kumpulan D kelayakann Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dimana Malaysia diundi bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang aksi awal antara Taiwan atau Timor Leste.
Pada aksi pusingan akhir Piala Asia di Qatar, Januari nanti, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Hamidin juga berterima kasih kepada barisan pemain skuad Harimau Malaya yang sentiasa bersemangat dan komited dalam menerima panggilan tugasan negara.
“Saya tahu yang anda keletihan kerana mengharungi jadual perlawanan domestik dan antarabangsa di sepanjang tahun. Namun apabila bermain untuk negara, bermainlah dengan sepenuh jiwa dan sehabis baik, demi maruah negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE