MUAR – Penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan di Simpang Jeram mengharapkan masalah perparitan di kawasan mereka diatasi segera bagi mengelakkan kejadian banjir kilat terus berulang.
Tinjauan mendapati kejadian banjir yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah disebabkan daripada perparitan tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan aliran air tersekat setiap kali hujan lebat atau air pasang besar.
Rosman Mohd. Ali, 56, yang tinggal di Jalan Parit Setongkat Darat, Sungai Abong berkata, paling teruk sekali apabila musim tengkujuh apabila ada penduduk terpaksa dipindahkan apabila banjir berlaku.
Katanya, antara kawasan penempatan yang terlibat adalah di Taman kg kenangan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) 2 dan 5, Taman Pertama Indah, Taman Sri Terap 1 termasuk di kediamannya di Parit Setongkat Darat.
“Diharapkan calon yang bertanding sebagai wakil rakyat di Simpang Jeram ini turut dapat memberikan perhatian kepada masalah ini sebagai salah satu keselesaan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Abong, Ab. Kahar Mashuri pula merayu permohonan mereka untuk mendapatkan sebuah Balai Polis di Simpang Jeram diberikan perhatian.
Menurut beliau, pada masa ini hanya ada sebuah Pondok Polis yang ditempatkan di sebuah rumah kedai, namun hanya beroperasi pada waktu pejabat sahaja.
“Lama dah isu ini tidak selesai semoga dapat perhatian dan tindakan,” ujarnya.