KOTA BHARU – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpendapat bahawa menjadi satu kesalahan sekiranya individu termasuk pelajar tahfiz yang berjubah dan memakai serban atau songkok hadir ke tempat maksiat seperti konsert.
Menurutnya, tiada istilah ‘pilih kasih’ dalam Rukun Islam kerana semua umat Islam perlu mematuhinya.
Katanya, tidak wajar untuk golongan tersebut menghadiri program yang boleh menimbulkan kemaksiatan contohnya konsert.
“Sekiranya kita hadir ke sesuatu konsert dan lupa kepada diri serta Allah SWT, maka ia tidak diizinkan. Kita sembahyang pun ingat kepada Allah SWT. Jadi, konsert pun biarlah konsert yang mendekatkan diri kepadaNya,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas isu pelajar tahfiz dijemput menghadiri sebuah konsert di ibu negara baru-baru ini.
Terdahulu, sekumpulan pelajar tahfiz diundang ke konsert Kepci Music Fest di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.
Ramai yang mempertikaikan tindakan menjemput pelajar berkenaan yang dianggap tidak sesuai untuk menghadiri acara hiburan. – KOSMO! ONLINE