Berkunjung ke sebuah hotel bertaraf lima bintang yang terletak di lokasi strategik di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur membuatkan penulis terasa begitu asing sekali, bukan kerana kemewahannya tetapi kesibukan di lobi hotel dengan pergerakan keluar masuk pelancong asing meskipun jam menunjukkan pukul 9 malam.
Kesibukan di kaunter daftar masuk dengan kemeriahan pelancong asing menunggu di sofa-sofa mewah di situ selain deretan bagasi besar untuk diuruskan oleh petugas hotel membuatkan penulis seolah-olah berada di sebuah hotel di negara asing.
Menurut salah seorang kakitangan di hotel berkenaan, ini adalah pemandangan dan aktiviti biasa setiap hari di hotel tersebut sehingga membuatkan ia menjadi antara pilihan pelancong khususnya dari Eropah dan China menginap di situ.
Mengulas lanjut, dia memaklumkan bahawa kadar penginapan di hotel berkenaan adalah tinggi lebih daripada 80 peratus setiap bulan melalui usaha promosi di media sosial dan juga testimoni serta pengalaman mereka yang telah berkunjung ke sini.
Perkembangan ini menjadi petanda bahawa sektor pelancongan tempatan semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong asing sekali gus bakal memberi impak positif kepada ekosistem industri berkenaan selepas terkesan sepanjang pandemik lalu.
Selain hotel dan tarikan pelancongan lain, Malaysia juga kaya dengan masjid yang berjaya menambat hati pelancong asing, sehingga ada yang sanggup menginap di hotel berdekatan masjid seperti di Putrajaya.
Menurut mereka, terasa ada ketenangan ketika mendengar azan yang sedang berkumandang.
Tidak hairanlah dikatakan ramai ‘mat salih’ akan berada di sekitar Masjid Jamek di KL untuk mendengar laungan azan unik setiap kali tibanya waktu solat.
Bersandarkan kepada peluang besar dalam segmen pelancongan ini, sebuah agensi di bawah MOTAC, Islamic Tourism Centre telah menganjurkan kursus latihan untuk meningkatkan pengetahuan dalam kalangan pemandu pelancong termasuk bukan beragama Islam mengenai Garis panduan Lawatan Masjid yang membolehkan mereka mendapat pengiktirafan dan kebenaran untuk membawa pelancong ke masjid-masjid popular di Malaysia.
Sungguh membanggakan kerana menurut ITC, hampir 70 peratus pemandu pelancong yang mengikuti latihan tersebut terdiri daripada bukan yang beragama Islam menunjukkan keprihatinan dan peluang mereka untuk memenuhi pasaran besar dalam pelancongan masjid pada masa depan.
ITC kini aktif menganjurkan latihan dan kursus tersebut bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di negeri-negeri lain untuk meningkatkan standard baharu dalam segmen tersebut seiring dengan populariti Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam.
Pelancongan masjid tidak kira masjid moden atau yang telah mencecah ratusan tahun, memiliki nilai sejarahnya yang tersendiri, maka di sinilah peranan semua pihak untuk meningkatkan aspek kebersihan dan keselamatannya agar terus terjaga dengan baik untuk manfaat generasi akan datang.