fbpx

Perak tubuh Majlis Perundingan Masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin.

IPOH – Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak (MPM) yang julung kali ditubuhkan di negeri ini merupakan sebuah majlis syura dan entiti baharu yang diharapkan mampu melakukan perubahan minda, budaya serta menghasilkan ramuan serta kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, justeru, Ahli-ahli MPM hendaklah berfikiran besar dan membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik lagi bermakna serta dikeluarkan dari kotak sempit.

Titah baginda, ia juga berperanan untuk memerdekakan peranan masjid dari kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu, dengan tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit.

“Semoga masjid-masjid di negeri Perak akan dapat ditingkatkan pengimarahannya melalui idea-idea segar yang dicetuskan dalam persidangan Majlis Perundingan Masjid,” titah baginda di Majlis Pengurniaan Watikah Ahli-Ahli MPM di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Baginda bertitah, idea penubuhan MPM dicetuskan melalui majlis syura iaitu program percambahan minda yang diadakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan ahli-ahli jawatankuasa masjid di negeri ini.

“Idea tersebut telah diangkat sembah dan mendapat perkenan Beta. Beta turut memperkenankan nama-nama yang diperakukan oleh urus setia untuk dilantik sebagai ahli Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak.

“Semoga nama-nama yang diangkat sembah untuk mendapat perkenan Beta dilantik sebagai ahli, terdiri daripada kalangan muslimin dan muslimat yang memenuhi inti pati yang tersurat dan tersirat dalam ayat tersebut (firman Allah yang terkandung dalam ayat 159 Surah Ali-Imran),” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, masjid berperanan penting sebagai pusat yang mengembangkan syiar Islam dan membangunkan tamadun.

“Masjid dirujuk sebagai rumah Allah, tempat paling istimewa di muka bumi ini, tempat yang diiktiraf mulia, suci dan barakah untuk melakukan ibadah. Dengan sifat Maha Pemurah Allah SWT, negeri Perak ketika ini mempunyai 707 buah masjid.

“Seiring dengan pertumbuhan penduduk, dikembari pembangunan kawasan penempatan dan perumahan yang baharu, permintaan untuk membina masjid baharu terus dikemukakan.

“Masyarakat Islam di negara ini pada hari ini, sewajibnya bersyukur kerana mempunyai kemudahan masjid yang dapat memenuhi permintaan. Perkara yang lebih perlu diberikan perhatian ialah aspek pengimarahan masjid,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI