fbpx

K2

Hukum tidak pulang rumah isteri kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suami yang berpoligami perlu berlaku adil kepada isteri-isterinya. – Gambar hiasan

Apakah hukumnya jika seorang suami itu tidak pulang ke rumah isteri kedua atas kerelaan isteri itu sendiri? Ini kerana pernikahan tersebut berlaku tanpa pengetahuan isteri pertama. Bagaimanapun, suami masih menjalankan tanggungjawabnya serta memberi nafkah zahir dan batin.

Jawapan: Seorang suami yang telah berkahwin lebih daripada satu hendaklah berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Allah SWT menyebut di dalam Surah Al-Nisa ayat 3;

“Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (apabila kamu mengahwininya), maka kahwinilah perempuan (lain) yang kamu senangi; dua, tiga, atau empat.

Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.”

Ayat tersebut menjelaskan tentang kewajipan seorang suami memberikan hak dengan adil terhadap isteri-isterinya.

Namun, jika lelaki tersebut khuatir tidak mampu berlaku adil, maka lebih baik untuknya mengahwini seorang wanita sahaja. Hikmah larangan ini adalah supaya tidak berlaku kezaliman dan penganiayaan terhadap isteri-isteri dinikahi.

Berlaku salah faham dalam masyarakat terhadap maksud adil sebenar.

Orang kebanyakan menyangka maksud adil adalah sekadar membahagi sesuatu secara sama rata. Sebenarnya, sifat adil bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
Begitu juga di dalam kehidupan suami isteri.

Suami wajib memberikan hak yang sepatutnya kepada isteri-isterinya secara adil.

Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing daripada suaminya, berupa kemesraan hubungan jiwa, nafkah berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain perkara yang diwajibkan Allah.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, hukumnya adalah harus dan tidak salah jika suami tidak balik ke rumah isteri kedua atas keinginan dan kerelaan hati isteri kedua.

Namun begitu, dinasihatkan supaya perkara ini tidak berlaku berpanjangan demi menjaga keperluan emosi pasangan (semua isteri) yang merupakan nafkah batin (bukan sekadar keperluan seks) dan tanggungjawab zahir yang akan bertambah dari semasa ke semasa.

Sunnah Rasulullah SAW bukanlah sekadar pada poligami, tetapi juga meliputi sifat adil dalam poligami.

Namun begitu perkara yang paling penting dalam perkahwinan sama ada berkahwin dengan seorang isteri atau lebih daripada satu (poligami), perbincangan yang tulus secara baik antara suami dan isteri-isterinya hendaklah dilakukan.

Sebaik mungkin elakkanlah daripada berahsia tentang perkahwinan (berpoligami) daripada pengetahuan isteri-isteri yang lain bagi menjamin maslahah dan mewujudkan keadilan untuk semua serta kebahagiaan yang berpanjangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI