fbpx

46 banduan Institusi Pemulihan Dadah Jelebu diberi pelepasan PBSL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Mustaqim menyerahkan dokumen pada majikan program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Kebangsaa Ke-66 di Rumah Kelab, Institusi Pemulihan Dadah Jelebu hari ini. - Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI / KOSMO!

JELEBU – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 esok amat bermakna buat 46 orang banduan Institusi Pemulihan Dadah Jelebu di sini selepas mereka diberi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan yang dinanti) hari ini.

Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sembilan, Penolong Komisioner Kanan, Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata, ia menerusi kerjasama strategik di antara pihak Jabatan Penjara bersama pihak industri ini melalui inisiatif Corporate Social Internship (CSI).

Menerusi iniasiatif itu, ia membolehkan Orang Bebas Berlesen (OBB) ini ditempatkan di dalam industri sehingga selesai tempoh hukuman dengan jaminan pekerjaan.

“Mereka ini adalah antara produk yang telah menjalani sekurang-kurangnya 1/3 daripada tempoh hukuman di dalam fasiliti serta telah menjalani program pemulihan dalam tempoh tersebut untuk di reintegrasikan semula dalam komuniti sehingga selesai baki hukumannya.

“Harapan yang diberikan kepada kesemua 46 orang tersebut adalah untuk berusaha menyesuaikan diri di dalam komuniti dan berdaya tahan untuk mendepani segala cabaran yang mungkin timbul apabila berada di luar penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) Sempena Hari Kebangsaan Ke-66 di Rumah Kelab, Institusi Pemulihan Dadah Jelebu di sini hari ini.

Jelas Ahmad Mustaqim, daripada 46 orang banduan, enam daripada mereka akan pulang bersama keluarga manakala 27 orang dihantar bekerja kepada majikan dan 13 orang banduan pula dihantar ke Rumah Perantara Jabatan Penjara Malaysia.

Sementara itu, seorang banduan berusia 39 tahun dari berasal dari Jempol, memberitahu, dia sudah memasuki proses pemulihan selama lapan dan dihantar bekerja di kilang perabot.

“Sebelum ini saya cuma tukang kebun dekat Palong dan syukur Allah beri peluang untuk saya berubah dan akan cuba sedaya upaya untuk berubah,” katanya.

Seorang ahli keluarga yang ditemui, Hanum Rastam, 73, pula berkata, dia tidak mengetahui anaknya akan bebas pada hari ini dan amat bersyukur anaknya bebas secara PBSL.

“Saya hanya mahu berjumpa sekejap tetapi tidak sangka dapat bawa anak saya pulang hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI