fbpx

Penghantar makanan buat panggilan palsu bom dipenjara sehari, denda RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Nasriq dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Padah kerana membuat panggilan ugutan bom palsu, seorang penghantar makanan menerima hukuman setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohammad Nasriq Samsudin, 38, dijatuhi hukuman tersebut selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret S. Punitha.

Hukuman penjara terhadap Mohammad Nasriq juga boleh ditambah lima bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Ahmad Farid Asorudin, 38, melalui telefon dengan cara mengugut dan mengatakan ada bom akan meletup di sebuah pasar raya di Klebang.

Panggilan berkenaan diterima di tingkat satu pejabat pengurusan pasar raya tersebut pada pukul 4.15 petang, 23 Ogos 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, ketika rayuan, Siti Hajar memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum mengambil kira pendapatan harian anak guamnya antara RM20 hingga RM30 sebagai penghantar makanan.

Malah katanya, rekod rawatan psikitri dimiliki tertuduh turut menyukarkannya mendapatkan pekerjaan tetap dengan pendapatan stabil.

“Tertuduh pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta pada tahun 2002. Rekod dimilikinya ini menyukarkan anak guam saya mendapatkan pekerjaan.

“Oleh itu, saya mohon mahkamah untuk mengenakan jumlah jaminan minimum terhadap tertuduh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI