PETALING JAYA – Bersempena menyambut hari kemerdekaan, Kumpulan Habib melancarkan koleksi terbaharunya, Wafer Syiling Emas 999.9 yang menampilkan pelbagai jenis rekaan kebaya sebagai usaha untuk menghargai kekayaan warisan negara.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Meer Habib berkata, usaha ini bertujuan untuk menyemai budaya dan keunikan negara di dalam koleksi selain memperkenalkan intipati identiti Malaysia bagi setiap wafer syiling emas itu.
Menurut beliau, koleksi wafer syiling emas 999.9 edisi baharu itu mempamerkan baju kebaya yang ikonik dengan menampilkan lima variasi rekaan kebaya daripada pakaian asal usul.
“Koleksi pakaian tradisi ini menyatukan naratif budaya dan koleksi ini menampilkan sentuhan kraftangan terbaik dari Itali yang terdiri daripada kebaya Riau Pahang, kebaya Kota Bharu, kebaya Perlis Kebaya Kebarung dan kebaya Nyonya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Selain itu, Meer menjelaskan dalam bulan istimewa ini juga Kumpulan yang terkenal dengan jenama tempatannya turut meraikan ulang tahunnya yang ke-65.
Beliau berbangga kerana syarikat mampu mengekalkan identiti dan budaya tempatannya melalui sokongan artis tempatan dan kumpulan pereka dalaman yang sangat berbakat sehingga ia berjaya menempatkan jenamanya di persada dunia.
“Kami sangat gembira untuk meraikan ulang tahun ini, malah turut berbangga dengan pencapaian selama berada di industri ini. Justeru itu, kami bersemangat dan teruja untuk memulakan sambutan ini selama setahun.
“Bermula dengan Kempen Merdeka yang kami adakan pada tahun ini, kami bersedia untuk menganjurkan pelbagai acara dan inisiatif menarik yang akan mengekalkan kegembiraan sepanjang setahun ini untuk semua,” jelasnya.
Tambah Meer, beliau terinspirasi daripada minat ayahnya untuk menyajikan pelanggan dengan permata berharga.
“Kegembiraan dan keyakinan yang terpancar pada wajah setiap pelanggan, apabila memiliki permata berkilauan meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya justeru mendorong saya untuk meneruskan legasi Habib, “ terangnya.
Kempen Merdeka Habib pada tahun ini adalah The Gift of Happiness dengan menampilkan selebriti, Sharifah Rose dan pemenang Miss Universe Malaysia 2022, Lesley Cheam.
Menurut Meer, The Gift Of Happiness melambangkan identiti kami sebagai sebuah jenama Malaysia dan mempunyai matlamat yang sangat besar untuk merealisasikannya.
“Tujuan kami mengutamakan ‘Hadiah Kebahagiaan’ untuk berkongsi kegembiraan bersama, serta merakam memori indah semasa memberi dan menerima hadiah. Kami juga menggabungkan elemen kebanggaan Malaysia, diilhamkan daripada Jalur Gemilang yang diabadikan pada visual kempen,” jelasnya.
Selain itu, Kumpulan Habib melancarkan Bazar Merdeka dengan tawaran hebat dan diskaun bersempena Pameran Plaza Shah Alam Habib atau di mana-mana bilik pameran syarikat bermula hari ini hingga 3 September ini.
Pelanggan bakal menikmati diskaun sehingga RM31 setiap gram untuk emas 916/999 dan diskaun sehingga 70 peratus untuk berlian dan batu permata.
Selain itu, dengan pembelian RM4,000 pada perhiasan emas, berlian, dan batu permata, pelanggan juga berpeluang menerima hadiah istimewa. -KOSMO!ONLINE