PETALING JAYA – Seorang ibu, Zurina Zulkefli sedang mencari penderma hati sesuai dan secara sukarela tampil membantu bayinya, Noor Baizura Mohd. Zulkarnain, 8 bulan, yang sedang mengalami masalah komplikasi hati.
Menerusi Facebook, Zurina memaklumkan, dia dan suami gagal menjadi penderma berikutan hasil pemeriksaan kesihatan mendapati, hati mereka tidak sesuai untuk anaknya itu.
“Untuk makluman tuan puan, hasil pemeriksaan kesihatan hati kami suami isteri didapati tidak sesuai didermakan walaupun kami cuba sedaya upaya.
“Mohon tuan puan panjangkan mesej ini sekiranya ada pihak berdarah B dan O yang sudi untuk mendermakan sedikit organ hati. Boleh hubungi saya di talian 0183642722,” kongsinya.
Dalam masa sama, Zurina turut meminta orang ramai supaya mendoakan kesembuhan anaknya itu.
“Saya memohon kemaafan dan doa daripada tuan puan untuk mendoakan kesembuhan anak bongsu saya yang kini sedang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur.
“Mohon rakan-rakan terdekat doakan yang terbaik buat kami dan inta maaf tak dapat terima persoalan buat masa ni atas faktor kami sedang berurusan dengan pihak hospital. Semua yang berlaku sangat pantas dan mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE