SEBERANG PERAI – Seorang pemandu van kilang cedera akibat tersepit di bahagian hadapan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Stadium Batu Kawan, Simpang Ampat di sini, pagi tadi.
Jurucakap bomba negeri berkata, operasi yang membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 8.46 pagi.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah lori dan van kilang yang dipandu mangsa berusia 40-an.
“Pemandu van kilang terbabit tersepit di tempat duduknya dan cedera pada bahagian kaki kanan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE