PETALING JAYA – Hari bahagia seorang pengantin perempuan bertukar menjadi duka apabila menerima perkhabaran kematian ibunya setengah jam selepas akad nikah.
Menerusi perkongsian video oleh rakan pengantin perempuan itu dikenali sebagai @mawiekhaili, perkahwinan itu berlangsung di sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Selepas setengah jam akad nikah, pengantin perempuan yang dikenali sebagai Ika terpaksa bergegas ke Hospital Kuala Lumpur kerana menerima khabar berita bahawa ibunya berada dalam keadaan tenat.
Bagaimanapun, Ika tidak dapat menahan sedihnya apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir sebaik sahaja dia tiba di hospital berkenaan.
Di dalam video itu juga, kelihatan Ika mengiringi jenazah ibunya dalam keadaan masih berpakaian pengantin sehinggalah dimasukkan ke dalam van jenazah.
Lebih menyedihkan lagi, pengantin perempuan itu berpatah balik semula ke majlis perkahwinannya bagi menghormati para tetamu yang hadir.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 200,000 tontonan, 13,300 tanda suka dan 1,045 perkongsian.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa sedih dan menganggap ini merupakan dugaan terbesar buat pengantin perempuan itu.
“Kuatnya wanita ini. Saya bangga dengan dia sebab masih berdiri kuat mengiringi jenazah ibunya. Semoga arwah bangga dapat anak yang kuat seperti ini,” komen Waniey.
“Memang betul, Ika memang kuat. Sampai dia kat majlis, aku salam dia, dia yang bertalu-talu cium aku. Air mara dia tak tumpah pun. Tapi kami yang menangis tengok dia,” komen Dila.
“Sama macam saya, lepas akad nikah dalam sejam arwah ayah koma. Sempat walikan melalui telefon oleh Tok Kadi. Lepas akad nikah terus ke hospital,” komen seorang pengguna lain pula. – KOSMO! ONLINE