JAKARTA – Seorang wanita melontar selipar dan mencurahkan air mineral ke arah Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam satu majlis di Gedung Serba Guna, Deli Serdang, wilayah Sumatera Utara kelmarin, lapor portal berita Prohaba.
Bagaimanapun, selipar dan air itu tidak mengenai Jokowi, manakala wanita dikenali sebagai Roida Tampubolon itu turut menjerit meminta keadilan buat dirinya.
Air yang dicurahkan Roida sebaliknya mengenai pengawal peribadi Presiden Indonesia itu
Mereka bertanya kepada wanita berkenaan tentang tujuannya berbuat demikian dan dia menegaskan ingin meminta keadilan daripada Jokowi.
Berikutan aksi tersebut, anggota-anggota pengawal peribadi itu bertindak menjauhkan Roida daripada Jokowi.
Presiden Indonesia itu tidak sedar berlaku insiden melempar selipar tersebut kerana sibuk bertemu dengan orang ramai.
Ketika kejadian , Jokowi sedang menghadiri majlis Perundingan Relawan Datuk Bandar Medan Bobu Nasution tetapi beliau tidak berucap dan hanya menonton pertunjukan seni budaya Batak. – Agensi