KUALA LUMPUR – Dalam usaha mempromosi dan memartabatkan produk buatan Malaysia, Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) hari ini telah melancarkan ‘My Gaya Month’ dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN).
Kempen yang berlangsung selama sebulan ini dianjurkan bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang bertujuan mempromosikan jenama-jenama dan produk buatan tempatan Malaysia menerusi sokongan kepada para penggiat industri fesyen dan gaya hidup tempatan.
Penganjuran kali ketiga inisiatif ini menampilkan 31 orang pereka, usahawan gaya hidup dan akademi fesyen tempatan bersama koleksi-koleksi dan produk terbaru mereka yang dihasilkan khas dengan tema fabrik berelemen ‘warisan’.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, ini merupakan satu inisiatif strategik yang mengangkat segmen atau industri lain untuk diketengahkan dalam membantu usahawan tempatan memasarkan produk Barangan Malaysia.
“Saya percaya produk barangan Malaysia mempunyai kualiti yang tersendiri dan seni budaya masyarakat kita sebenarnya boleh diterjemah melalui produk-produk fesyen. Pereka produk fesyen biasanya bergerak sendiri, platform yang kita berikan melalui kempen ini sepatutnya boleh dimanfaatkan,” katanya dalam sidang media pelancaran program My Gaya Month 2023.
Dalam pada itu, Datuk Azman juga menjelaskan bahawa Kempen Beli Barangan Malaysia perlu diperluaskan ke negara luar dan tidak hanya memberi fokus kepada negara sendiri sahaja.
“Saya mengharapkan mereka yang terdiri daripada negara asing itu menghargai penghasilan produk Malaysia yang juga mampu menjadi jenama terkenal di peringkat antarabangsa. Produk buatan negara kita mempunya ciri yang boleh dikomersialkan.
“Kerjasama dalam industri fesyen boleh diperluaskan sehingga ke peringkat negara-negara Asia kerana sudah tentu lebih mudah untuk dipromosikan. Saya juga berharap kempen ini tidak hanya disandarkan pada bulan Kemerdekaan sahaja malah sepanjang tahun,” ujarnya.
My Gaya Month 2023 akan melabuhkan tirainya dengan sebuah pertunjukkan fesyen pada 10 September 2023 di Farenheit88 yang juga akan disiarkan secara langsung oleh RTM dan platform sosial media. – KOSMO! ONLINE