MANCHESTER – Pihak pengurusan Manchester United diberi amaran oleh ejen Eric Bailly bahawa pemain itu mungkin akan memikirkan mengenai masa depannya bersama pasukan itu jika situasi semasa tidak berubah.
Pemain pertahanan itu tidak menjadi pilihan utama pengurus, Ole Gunnar Solskjaer apabila hanya diturunkan dalam empat perlawanan musim ini.
Solskjaer lebih gemar menggandingkan Harry Maguire dan Victor Lindelof di bahagian pertahanan tengah menyebabkan ejen pemain berusia 26 tahun itu, Promoesport berasa kurang senang.
“Pengalaman kami bersama United tidak sama. Ia bergantung kepada nasib, siapa yang anda berurusan dan peluang yang anda ada.
“Jika Bailly mendapat lebih peluang, dia mampu menjadi pemain yang baik dan membantu menyelesaikan masalah dalam pasukan.
“Bagaimanapun, jika semua perkara ini tidak berubah, kami fikir adalah sangat sesuai untuk memikirkan semula mengenai masa depan Bailly bersama pasukan itu. Ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara yang tidak pasti seperti ini,” kata pengurus Promoesport, Graziano Battistini.
Siri kecederaan sedikit merencatkan perjalanan karier Bailly dalam beberapa aksi lalu dan United menjangkakan dia mampu cergas selepas cuti rehat perlawanan antarabangsa.
Musim panas lalu menyaksikan United memberikan tawaran kepada AC Milan untuk mendapatkan Bailly tetapi kelab Serie A itu dilaporkan tidak berminat.
United kini berdepan krisis di bahagian pertahanan apabila gandingan Maguire dan Lindelof dilihat tidak mampu untuk membantu pasukan itu memburu kejayaan musim ini. – AGENSI