fbpx

K2

Kor Suksis medium pupuk patriotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOR Suksis mampu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa di universiti awam. – Gambar hiasan

‘MALAYSIA Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ merupakan tema Hari Kebangsaan 2023.

Perpaduan Malaysia Madani, memerlukan perancangan sistem pendidikan yang lestari.

Perpaduan merupakan hasil daripada pelaksanaan dan peningkatan semangat patriotisme rakyat Malaysia.

Ia perlu dibina melalui sistem pendidikan yang menepati kriteria patriotisme.

Menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka, patriotisme adalah semangat cinta yang kuat terhadap tanah air.

Ia bukan sekadar perasaan, tetapi melibatkan keyakinan, kesetiaan, kewarganegaraan, keberanian, kemerdekaan, jati diri dan kedaulatan negara tercinta.

Ia juga mendorong individu untuk mengutamakan kepentingan negara berbanding diri sendiri.

Patriotisme melahirkan warganegara yang mempunyai ciri-ciri berikut iaitu sentiasa bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan dalam masyarakat majmuk.

Semangat ini juga akan mendorong rasa menjunjung tinggi terhadap perlembagaan dan undang-undang negara, seterusnya menghormati lambang negara seperti bendera dan lagu kebangsaan.

Kita juga dengan sukarela mengambil bahagian dalam aktiviti pembangunan masyarakat, menghargai sejarah, budaya, serta warisan negara.

Ia bermatlamat untuk mencipta tanah air yang harmoni dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial serta politik dalam membela hak dan kepentingan negara.

Salah satu cara untuk mengembangkan semangat patriotisme di peringkat universiti adalah melalui kokurikulum badan beruniform seperti Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis).

Pelaksanaan Kor Suksis di universiti awam merupakan satu strategi tepat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menanamkan nilai-nilai moral dan semangat cintakan bangsa serta negara.

Dengan ini, satu gagasan masyarakat Malaysia yang intelektual dan patriotik dapat direalisasikan.

AKTIVITI yang dijalankan dalam silibus Kor Suksis mampu meningkatkan disiplin diri, semangat berpasukan dan kesediaan berjuang. – Gambar hiasan

Berdasarkan sejarah, Kor Suksis telah diinspirasikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1999.

Beliau telah mencadangkan pembentukan sukarelawan polis dalam kalangan mahasiswa universiti yang dilatih untuk menyokong, mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam serta memupuk semangat patriotisme mengikut model PDRM.

Pelancaran Kor SUKSIS di seluruh universiti awam telah disempurnakan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar di Dataran Kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada 24 Jun 2006.

Dari sudut perundangan, Kor Suksis tertakluk di bawah peruntukan undang-undang mengikut Akta Polis 1967.

Kor Suksis menanamkan semangat patriotisme melalui silibus latihan yang merangkumi nilai-nilai komprehensif dengan pelbagai aktiviti wajib.

Antaranya adalah kawad kaki, asas senjata, asas pertolongan cemas dan ikhtiar hidup.

Aktiviti seperti ini mampu meningkatkan disiplin diri, semangat berpasukan dan kesediaan untuk berjuang.

Selain itu, aktiviti lain seperti khidmat masyarakat pula mengajar mahasiswa Kor Suksis supaya bersikap sukarela dalam membantu dan menyayangi masyarakat.

Silibus Kor Suksis juga menggariskan intipati kepolisan seperti penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, disiplin, integriti, kesetiaan, tanggungjawab dan kejujuran.

Ini dapat menimbulkan kesedaran kepada kepatuhan undang-undang seterusnya mencorakkan semangat kenegaraan yang sejahtera.

Elemen sejarah, perlembagaan dan undang-undang dapat menjadi landasan kepada mahasiswa Suksis untuk menangkis kefahaman salah yang mengancam keamanan negara.

Program latihan Kor Suksi yang berterusan selama tiga tahun, ternyata cukup untuk mendidik, mengasah dan melestarikan silibus SUKSIS.

Akhirnya, mahasiswa Kor Suksis yang menamatkan semua modul latihan layak menerima sijil lantikan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis daripada Ketua Polis Negara.

Program Kor Suksis merupakan hasil kerjasama antara dua pemegang taruh utama iaitu PDRM dan universiti awam.

Kor Suksis ditempatkan di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM yang berstruktur dan bersistematik.

JPJKK menempatkan jurulatih khusus yang berpengalaman dan profesional bagi menguruskan latihan serta menjalankan pelan pengajian Kor Suksis di universiti awam.

Di peringkat universiti pula, lima pegawai kehormat Kor Suksis dilantik oleh PDRM untuk membantu pengurusan.

Mereka merupakan pensyarah atau ahli pengurusan profesional universiti yang bertanggungjawab memastikan keperluan penempatan dan bantuan latihan kepada mahasiswa kor Suksis.

Sinergi padu di antara PDRM dan universiti awam sememangnya memberikan impak kepada Kor Suksis dalam melahirkan mahasiswa kelas pertama yang patriotik.

Sejak penubuhan Kor Suksis pada 2003, ribuan mahasiswa telah menamatkan latihan dan layak menerima sijil pelantikan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia.

Ada daripada mereka telah menjadi anggota tetap di PDRM, manakala sebahagian lagi meneruskan kerjaya masing-masing selari dengan bidang pengajian di universiti.

Ilmu kepolisan dan semangat patriotisme yang tinggi hasil latihan, membolehkan alumni Kor Suksis menjadi pemangkin dalam melahirkan masyarakat Malaysia Madani serta memenuhi tekad perpaduan dan harapan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI