fbpx

La Liga: Atletico catat kemenangan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATLETICO berpesta gol ketika aksi menentang Vallecano sekali gus menjadi rekod kemenangan terbesar pasukan itu di tempat lawan. - AFP

MADRID – Atletico Madrid merekodkan kemenangan terbesar mereka di tempat lawan dalam aksi La Liga selepas membelasah seteru setempat, Rayo Vallecano 7-0 di Estadio de Vallecas awal pagi semalam.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone menyifatkan kunci kejayaan mereka adalah disebabkan memiliki jentera tengah yang ‘sempurna’ terutama posisi tengah bertahan diketuai Pablo Barrios.

Ia merupakan percaturan berani daripada Simeone, 53, untuk mengubah posisi Barrios, 20, daripada pemain tengah menyerang kepada tengah bertahan.

“Saya beritahunya empat atau lima bulan lepas. Dia tidak percaya, tetapi saya melihatnya lebih kepada seorang pemain tengah (bertahan), bukannya serangan.

“Dengan adanya Koke dan Barrios di posisi itu di tambah pula (Alex) Witsel, saya merasakan jentera tengah kami sudah lengkap. Kalau ada pemain keluar, kami akan beli pemain baharu,” katanya.

Walaupun tidak mencetak nama selaku penjaring tetapi kehadiran Barrios amat penting bagi memberikan keseimbangan kepada rakan sepasukan melakukan serangan.

Ia terbukti apabila tiga gol terhasil dalam babak pertama menerusi Antoine Griezmann seawal minit kedua, Memphis Depay (m-16) dan Nahuel Molina (m-36).

Bersambung separuh masa kedua, Atletico menambah empat lagi gol menerusi dua jaringan Alvaro Morata (m-73, m-84), Angel Correa (m-79) dan Marcos Llorente pada minit ke-90.

Kemenangan itu membolehkan Atletico melonjak ke tangga kedua menerusi tujuh mata daripada tiga perlawanan selepas terdahulu seri tanpa jaringan dengan Real Betis dan menang 2-0 ke atas Numancia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI