GEORGE TOWN – Pimpinan pusat Perikatan Nasional (PN) akan menentukan siapa yang bakal dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Pesuruhajaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, setakat ini Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar beberapa nama calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut termasuk nama beliau serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pulau Pinang, Zulkefli Bakar.
“Ketua pembangkang DUN akan ditentukan oleh pimpinan PN pusat, kita cuba untuk selesaikan (Ketua Pembangkang DUN), ia tidak dapat dimuktamadkan pada pagi ini.
“Calon Ketua Pembangkang ini ada beberapa nama yang dihantar masing masing oleh Pas dan Bersatu, kami (Pas) ada tujuh ADUN manakala Bersatu pula empat ADUN yang mana Pas diketuai saya selaku Pesuruhajaya PAS dan Zulkefli (Bersatu), ini antara nama-nama yang telah dihantar,” katanya selepas menghadiri majlis angkat sumpah ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pada Mac lalu, PN Pulau Pinang menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq sebagai Ketua Pembangkang untuk DUN Pulau Pinang.-KOSMO! ONLINE