fbpx

Mahkamah: Yasin cemas, terkejut ketika rumah diserbu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin Sulaiman

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ketiga memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman kelihatan cemas dan terkejut semasa polis menyerbu unit kediaman rumahnya di sebuah kondominium di Damansara pada Mac tahun lalu.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, berkata Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, dilihat dalam situasi demikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, tertuduh yang sedang berdiri dilihat cemas serta terkejut (dengan kehadiran polis). Semasa serbuan hanya tertuduh seorang berada di dalam rumah itu,” katanya.

Saksi itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPP) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai keadaan Yasin semasa serbuan.

Tambah saksi itu, meskipun Yasin nampak cemas dan terkejut, selebriti itu tetap memberikan respon dan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Terdahulu Darwis ketika membaca penyataan saksinya berkata, pada 24 Mac tahun lalu, pukul lebih kurang 5.30 petang, dia bersama pasukan serbuan tiba di hadapan sebuah rumah di kondominium Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home dan mendapati pintu jeriji besi hadapan dan pintu kayu utama rumah tertutup rapat dan berkunci.

“Khuatir barang kes dilupuskan saya arahkan Lans Koperal Yusri untuk mengumpil pintu jeriji besi dan kemudian mengarahkan Sarjan Allif untuk memecahkan pintu kayu utama rumah itu.

“Selepas pintu jeriji besi dan pintu kayu utama rumah berjaya dibuka, saya dan pasukan serbuan masuk ke dalam rumah, saya kenalkan diri sebagai polis dengan menunjukan kad kuasa dan tahan seorang lelaki Melayu (selepas ini dikenali sebagai tertuduh) di hadapan pintu masuk utama dalam rumah itu,” katanya.

Mengulas lanjut saksi itu memberitahu hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu polis menemui plastik lutsinar bertulis ‘Diamond’ di dalamnya berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja (berat 74 gram) dan satu plastik lutsinar bertulis ‘Diamond’ yang berisi leraian daun kering disyaki ganja (berat 140 gram) di dalam bekas plastik itu jumlah keseluruhan dadah disyaki ganja seberat 214 gram.

Tambahnya pihak polis kemudian telah melakukan pemeriksaan di bahagian ruangan sebelah dapur bahagian kiri rumah itu dan menemui satu almari kain berwarna hitam dan di dalamnya terdapat tiga pokok dalam pasu disyaki pokok ganja.

“Turut dirampas dalam ruangan almari itu, satu botol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, satu lampu ‘grow light’, dua lampu led, dua lampu Iimpah dan satu alat menyiram tanaman.

“Selain itu satu alat pengudaraan yang disambungkan ke almari kain itu, pemeriksaan seterusnya dalam bilik pertama sebelah kiri rumah menemui 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dalam almari pakaian itu,” katanya.

Kata saksi itu lagi, pemeriksaan di ruangan balkoni rumah, polis kemudian menemui satu pokok dalam pasu disyaki pokok ganja dan turut dirampas dari atas meja bahagian ruang rumah itu adalah pasport milik tertuduh bernama Muhammad Yasin Sulaiman dan barangan peribadi lain.

Sementara itu saksi itu ketika ditanya mengenai keadaan almari yang ditemui, saksi itu memaklumkan almari itu “berfungsi” yang mana lampu dalam almari menyala dengan satu alat pengudaraan juga turut dipasang.

TPR: Ada keluar bau apa-apa?
Saksi: Ada iaitu bau ganja dari bahagian dapur…saya hidu bau ganja.

Saksi itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai keadaan Yasin semasa serbuan.

Sejurus selepas selesai disoal pihak pendakwaan ketika pemeriksaan utama, saksi itu tidak disoal balas oleh peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung lagi petang ini.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI