KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bercadang untuk menumpukan perhatian kepada infrastruktur luar bandar termasuk memberi galakan untuk menyertai Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain tumpuan kepada infrastruktur bekalan elektrik dan air, pihaknya juga mementingkan TVET untuk legasi baru di luar bandar.
“Ia akan dapat menyediakan peluang kedua kepada mereka untuk melanjutkan pengajian serta menceburi dalam bidang keusahawanan.
“Dari segi kebolehpasaran TVET, melalui Belanjawan kita peruntukkan untuk realisasikan TVET khusus untuk wanita yang dikenali sebagai Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) serta akan melibatkan pelbagai kaum dan wilayah termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kami juga akan memfokuskan untuk membangunkan masyarakat orang asli melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),”katanya ketika sidang akhbar selepas Walkabout Program Jualan Desa Madani di Busana Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini, hari ini.
Menurut beliau, KKDW bakal mengemukakan saranan kepada Kementerian Kewangan untuk anak-anak syarikat di bawah agensi Mara yang tidak memberikan sumbangan keuntungan untuk ditutup atau dilakukan cantuman.
“Keuntungan itu akan digunakan untuk pembiayaan aktiviti untuk objektif penubuhan agensi-agensi masing-masing.
“Agensi bukan jadi core-center tetapi menjadi profit center, supaya beban kewangan dapat dikurangkan oleh Kementerian Kewangan, saranan kami ini adalah untuk memberi perubahan yang ketara bagi tahun hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut Jualan Desa Madani (JDM) yang berlangsung selama tiga hari itu, beliau berkata, jualan yang berlangsung selama tiga hari itu adalah bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 selain membantu usahawan desa mengembangkan perniagaan mereka.
Jelasnya, sebanyak 65 reruai usahawan dari pelbagai agensi di bawah KKDW dan usahawan PKS menyertai program ini terdiri daripada pelbagai kategori iaitu kecantikan, kesihatan, kraftangan, fesyen pakaian, makanan dan minuman.
Seterusnya, Jualan Rahmah untuk barangan keperluan harian dengan potongan harga sebanyak 10 peratus sehingga 50 peratus serta ‘happy hour’ untuk barangan terpilih yang ditawarkan sepanjang JDM berlangsung dari 28 sehingga 30 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE.