JOHOR BAHRU – Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegur jentera Pakatan Harapan (PH) kerana membuka kaunter bergerak bagi berkempen di tapak Pasar Malam Taman Sutera, di sini.
Sehubungan itu, petugas SPR yang bertanggungjawab memantau perjalanan kempen di kawasan berkenaan meminta jentera PH menutup kaunter berkenaan.
“Jika mengikut permit dikeluarkan polis, jentera PH hanya dibenarkan untuk berkempen di sini bermula pukul 7.30 malam, waktu ini (5.30 petang) adalah waktu jentera Perikatan Nasional (PN).
“Perbezaan waktu yang diberikan itu bertujuan untuk memastikan tiada sebarang perselisihan berlaku antara jentera kedua-dua pihak, PH dan juga PN,” katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How meminta jentera PH menutup sementara kaunter berkenaan bagi mematuhi peraturan tersebut. – KOSMO! ONLINE