fbpx

Veteran ATM tak cukup dana bantu ahli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERDAPAT 176,400 ahli yang berdaftar dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di seluruh negara. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengakui pihak­nya berdepan kekangan untuk membantu pesara terutamanya ahli mereka kerana kekurangan dana.

Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, per­kara itu berlaku kerana pihaknya tidak menerima sebarang dana atau bantuan daripada kerajaan.

Malah, katanya, semua dana yang disalurkan sebelum ini walaupun dalam jumlah yang kecil hanyalah daripada tabung persatuan sendiri serta inisiatif-inisiatif yang dilakukan PVATM dalam menjana pendapatan.

“Memang kita (persatuan) tidak dapat sebarang dana daripada kerajaan dan semua bantuan yang kita salurkan selama ini pun adalah hasil ‘kantung’ persatuan sendiri, hasil inisiatif yang dilakukan persatuan.

“Walaupun tiada dana terus kerajaan, tetapi kita tidak menga­baikan ahli di seluruh negara dan PVATM telah ada menyalurkan beberapa bantuan, namun bantuan tersebut kecil serta terhad.

“Sebagai contoh, kita bagi bantuan khairat kematian segera RM200, bantuan bencana RM500, bantuan lampin pakai buang dan beberapa bantuan lain yang amat-amat terhad dan tidak mencu­kupi sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Kosmo! semalam selepas Ketua PVATM Cawangan Muar, Samsudin Rais memaklumkan, seramai 95 ve­teran ATM di Muar hidup terlantar akibat pelbagai penyakit kronik selain memerlukan bantuan khas bulanan untuk keperluan perubatan dan kesihatan.

Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, cawangan tersebut merupakan salah satu persatuan yang aktif di bawah PVATM dan mereka antara yang mempunyai dana sendiri walaupun terhad.

“Cawangan yang aktif pun tidak mampu membantu semua ahli, apatah lagi jika cawangan yang tidak aktif. Kalau diikutkan terlalu ramai ahli yang memerlukan bantuan ketika ini,” katanya.

Beliau memberitahu, ketika ini, jumlah pesara ATM di seluruh negara dianggarkan hampir 300,000 dan kira-kira 176,400 adalah ahli PVATM.

“Daripada jumlah itu, hampir 70 peratus adalah kategori warga emas berusia 60 tahun ke atas dan lebih separuh mempunyai pelbagai penyakit kronik.

“Mereka ini amat memerlukan bantuan terutamanya dari segi perbelanjaan isi rumah kerana ada yang tidak mampu bekerja kerana sakit, malah ada yang terlantar memerlukan bantuan ubat-ubatan serta lampin pakai buang,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI