PUTRAJAYA – Laurel B Sdn. Bhd. (Laurel B) pengeluar produk penjagaan kecantikan dan kesihatan, berkeyakinan terhadap fasa kembali semula ke pasaran dengan penjenamaan baharu bagi produk sedia adanya yang kini diberi nilai tambah, bakal mendapat tempat di pasaran tempatan dan di luar negara.
Laurel B yang dulunya dikenali sebagai produk Mixberry telah dikeluarkan oleh syarikat Shalicious Empire dengan mencatat jualan lebih satu juta unit di pasaran.
Syarikat tersebut telah mula beroperasi pada tahun 2017 dengan menawarkan rangkaian produk penjagaan kulit muka.
Hampir setahun syarikat tersebut tidak aktif di pasaran kerana berdepan dengan pelbagai masalah, kini ia kembali dengan imej, jenama dan promosi selain menambah baik produk Mixberry itu dengan khasiat yang lebih baik dengan nama baharunya, Laurel B.
Pengasas syarikat Laurel B, Wan Nur Siti Aishah Wan Hasan berkata, produk baharu itu mula diperkenalkan di pasaran pada minggu ini dan ia dijual dengan RM110 seunit.
Pihaknya mengunjurkan jualan sehingga 100,000 unit menjelang akhir tahun ini.
Menurut beliau, misi ini mampu dicapai memandangkan jualan pada hari pertama produk tersebut diperkenalkan kepada reseller dan pelanggannya telah merekodkan jualan sehingga 10,000 unit.
“Memandangkan kami sudah berada di pasaran sebelum ini, maka masih ramai pelanggan setia terhadap produk syarikat bukan saja dalam negara tetapi juga di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk terbaharunya di sini baru-baru ini.
Selain itu, Wan Nur Siti Aishah menjelaskan, selain berjaya ke pasaran Indonesia syarikat bakal membuka lembaran baharu di Singapura dan juga Brunei.
Mengulas mengenai rangkaian pemasarannya, beliau berkata, buat masa sekarang bilangan reseller telah bertambah kepada 2,000 orang di seluruh negara dan telah membantu menaikkan jualan syarikat. -KOSMO!ONLINE