PETALING JAYA – Skuad hoki wanita lima sebelah (5’s) negara terpaksa akur gagal ke final Piala Asia Hoki 5’s 2023 di Salalah, Oman selepas tewas 5-9 kepada India di separuh akhir sebentar tadi.
Kekalahan itu masih tidak menjejaskan peluang Malaysia untuk layak ke Piala Dunia Hoki 5’s yang juga akan berlangsung di Oman pada Januari tahun depan dengan syarat wajib meraih tempat ketiga.
Sehubungan itu, skuad negara tiada pilihan selain mencatat kemenangan dalam aksi terakhir mereka apabila turun menentang Thailand atau Indonesia pada penentuan tempat ketiga dan keempat malam ini.
Anak-anak buah Nabil Fiqri Mohd. Noor itu perlu mengelak daripada melepaskan gol dalam tempoh singkat seperti dialami ke atas India sebentar tadi.
Malaysia meraih lima jaringan menerusia Zati Alyani Muhamad Zubir pada minit keempat dan lima, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (m-10, m-20) dan Nur Zafirah Aziz (m-16).
Pemain India, Navjot Kaur berada dalam kelas tersendiri apabila meledak hatrik pada minit kesembilan, 10 dan 17.
Baki enam lagi gol dijaringkan dua oleh Kujur Mariana (m-9, m-12), Jyoti (m-21, m-26) dan satu daripada Mahima Choudhary (m-14) serta Toppo Dipi Monika pada minit ke-22. – KOSMO! ONLINE