fbpx

Kastam rampas 150kg ganja bernilai RM649,300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL (dua dari kiri) menunjukkan tempat dadah yang disorokkan dalam sebuah sampan fiber yang dirampas kastam sewaktu sidang akhbar di sini hari ini.

KUALA PERLIS – Tindakan menyembunyikan dadah pada bot yang diubahsuai gagal mengaburi mata penguatkuasa apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas sejumlah 150 kilogram (kg) ganja bernilai RM649,300 di sini baru-baru ini.

Dalam serbuan pukul 7.50 pagi pada 16 Ogos lalu, Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis melakukan serbuan ke atas sebuah sampan fiber berwarna hijau kuning tanpa nombor pendaftaran di jeti nelayan berhampiran Kampung Bahagia.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan selama sebulan ke atas bot-bot yang bergerak melintasi sempadan laut antara Malaysia dan Thailand berhampiran perairan Kuala Perlis.

“Sebelum serbuan dilakukan, pihak kastam mengekori sebuah sampan yang mencurigakan dan sampai sahaja di jeti nelayan, jurumudinya sempat mengikat bot sebelum menghilangkan diri.

“Pihak penguatkuasa menunggu selama setengah sebelum melakukan pemeriksaan lanjut dan menemui sebanyak 150 ketulan mampat dipercayai ganja dengan anggaran berat 150kg disembunyikan pada bahagian dalam bot yang telah diubahsuai,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, pihak kastam kemudiannya merampas semua ketulan mampat yang dianggarkan bernilai RM649,300 serta enjin sangkut dan sampan fiber bernilai RM40,000.

Menurut Ismail, pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah tersebut diseludup untuk dipasarkan di kawasan utara dan tengah Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan jumlah berat barang rampasan, kita percaya berjaya membanteras pengedararan dadah yang boleh dipasarkan untuk kegunaan 750,000 orang penagih.

“Jurumudi tersebut menghilangkan diri selepas dipercayai mengesan pergerakan pasukan serbuan dan pihak kastam percaya sindiket itu menggunakan khidmat tonto untuk mengawasi pergerakan penguatkuasa,” jelasnya.

Tambahnya, kawasan perairan sempadan negara di Perlis agak luas dan ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat untuk membanteras kegiatan penyeludupan.

Katanya lagi, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI