fbpx

‘Kerja gila’ pertunjukan fesyen atas litar Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gaya yang ditampilkan bersesuaian profesion di litar.

PENTAS pertunjukan fesyen menjadi medium terbaik buat pereka fesyen untuk menterjemah koleksi yang dihasilkan dengan kreativiti tersendiri.

Pemilihan lokasi yang bersesuaian mampu menghidupkan lagi pentas peragaan fesyen, menjadikan acara itu lebih gah dan lain daripada yang lain.

Bagi pengasas dan pengarah kreatif jenama pakaian Neonate Clothing Company (Neonate) yang juga merupakan personaliti televisyen, Karl Shafek, dia sudah lama mengimpikan untuk membuat satu pertunjukan fesyen secara eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan tidak menyangka impian tersebut menjadi kenyataan pada minggu lalu.

Karl berkata, pertunjukan fesyen yang julung kali diadakan di SIC itu juga adalah kolaborasi antara label tersebut bersama satu lagi jenama fesyen gaya jalanan terkemuka Malaysia iaitu SVG melalui cetusan idea dan perancangan dua jenama hebat itu.

Tema bagi acara tersebut adalah ‘Race Day’ dan berlangsung pada 20 Ogos lalu, sehari sebelum jadual rasmi acara pertunjukan fesyen Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23).

Lebih 83 koleksi bertemakan ‘Race Day’ diperagakan, melibatkan 80 model pilihan Neonate dan SVG.

Selain itu, seramai 10 orang ‘muse’ diperkenalkan pada acara tersebut yang terdiri daripada selebriti dan pensohor media sosial seperti MK K-Clique, Saixse, Haneesya Hanee, Qistina Raisah dan Qaqiy.

Acara yang bermula pukul 7 malam itu dihadiri lebih 3,500 tetamu dengan kehadiran rakan penaja, selebriti dan peminat fesyen streetwear.

Jelas Karl, pertunjukan fesyen tersebut adalah gabungan idea sepenuhnya daripada dua label Neonate dan SVG.

Gaya jalanan ditampilkan dengan penuh ekspresif.

“Apa yang anda saksikan adalah hasil idea dan ‘kerja gila’ daripada dua jenama ini.

“Boleh dikatakan, ini adalah acara pertunjukan fesyen terbesar yang diilhamkan sepenuhnya oleh saya dan pasukan.

“Ia juga merupakan pertunjukan fesyen pertama di atas trek lumba yang mana tetamu yang hadir seolah-olah sedang menonton acara lumba kereta Formula 1 atau MotorGP,” ujar Karl.

Tambahnya lagi, penonton yang hadir dapat melihat pelbagai terjemahan gaya yang sesuai dengan konsep sesebuah litar perlumbaan seperti fesyen seorang pelumba kereta di litar dan juga mekanik yang bertugas di litar lumba.

“Macam-macam gaya yang dapat disaksikan dalam acara ini daripada gaya pelumba, gaya mekanik dan juga gaya gadis litar,” ujarnya.

Karl berkata, acara tersebut cukup bermakna baginya kerana ia juga merupakan antara pentas peragaan paling panjang di Malaysia dengan jarak hampir 800 meter.

“Pertunjukan fesyen ini juga boleh dikatakan antara ‘runway’ terpanjang yang mana jaraknya hampir 800 meter.

“Tiada pentas peragaan yang disediakan dan setiap model perlu berjalan di atas trek lumba,” katanya sekali gus menjadikan pertunjukan fesyen Neonate itu antara yang paling unik.

Menurut Karl lagi, dia berharap pertunjukan fesyen Neonate X SVG dapat menjadi penanda aras kepada jenama fesyen tempatan, terutama sekali pereka muda untuk menghasilkan idea yang luar biasa.

“Saya memang mahukan jenama Neonate ini menjadi penanda aras kepada industri fesyen tempatan, yang mana saya berharap pereka tempatan di luar sana serta anak-anak seni boleh tampil ke depan dan mengekspresikan kerja seni mereka yang kreatif.

“Bagi saya juga, mereka tidak perlu bimbang tentang bajet atau sokongan orang ramai kerana percayalah, akan ada pihak yang mahu membantu menterjemah idea kreatif anda,” ujarnya sambil menambah, banyak badan korporat dan syarikat swasta yang memerlukan promosi dan platform untuk memperkenalkan jenama mereka.

Karl juga berharap agar selepas ini, akan muncul satu acara tahunan seperti Streetwear Fashion Week yang mempromosikan gaya fesyen jalanan.

“Kalau boleh, saya mahu orang luar tahu bahawa di negara kita ini, terdapat banyak jenama yang mempunyai kebolehan dan kepakaran untuk menganjurkan acara fesyen secara solo seperti yang dilakukan oleh jenama terkenal antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI