BERN, SWITZERLAND – Sebuah klip video tular yang memaparkan aksi kru sebuah syarikat penerbangan Switzerland bergambar di atas sayap pesawat menerima kecaman kerana dianggap perbuatan berbahaya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Aksi ranggi itu dilakukan kru Swiss International Airlines melibatkan pesawat Boeing 777 semasa menunggu untuk berlepas ke Zurich.
Video itu dirakam oleh penumpang yang berada di balai berlepas dan menunjukkan dua kru terbabit berdiri di atas sayap pesawat.
Seorang pramugari pada mulanya dilihat berjalan keluar dan berdiri di atas sayap pesawat serta beraksi untuk bergambar.
Seorang lagi kru mengikuti langkah tersebut dan membuat pelbagai aksi lain.
Video itu mengundang kritikan dengan ramai netizen menyelar aksi mereka kerana boleh mengancam nyawa.
Kru pesawat komersial hanya dibenar memijak sayap pesawat dalam situasi kecemasan seperti pendaratan cemas yang memerlukan penumpang dipindahkan, dan bukan untuk bergambar. – AGENSI