fbpx

Armenia pulangkan Nagorno-Karabakh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONVOI tentera pengaman Rusia dalam perjalanan menuju ke pusat pentadbiran Nagorno-Karabakh, Stepanakert di Azerbaijan pada 11 November lalu. – AFP

STEPANAKERT, Azerbaijan – Armenia semalam mula menyerahkan sebahagian daripada wilayah tuntutan bertindih di Nagorno-Karabakh kepada Azerbaijan sebagai sebahagian syarat perjanjian damai bagi menamatkan pertempuran sengit selama enam minggu.

Penduduk Kalbajar iaitu daerah Azerbaijan yang dikuasai kumpulan pemisah Armenia selama beberapa dekad, mula keluar dari wilayah Nagorno-Karabakh beberapa hari menjelang tarikh pengunduran rasmi.

Wartawan agensi berita AFP melihat penduduk yang melarikan diri, melonggokkan perabot dan peralatan dapur ke dalam kenderaan sebelum bergerak ke Armenia, manakala sebilangan etnik-Armenia berkata, mereka telah memindahkan mayat dari kubur kerana bimbang akan dicemarkan oleh warga Azerbaijan.

Kepulan asap tebal naik ke udara di lembah dekat Kampung Charektar selepas penduduk etnik Armenia membakar rumah masing-masing. Mereka memilih untuk me­ninggalkan kehancuran supaya kediaman tersebut tidak dapat dihuni orang Azerbaijan.

Sebuah pasukan tentera pengaman Rusia dikerahkan minggu ini ke Nagorno-Karabakh. Mereka mengambil kedudukan dan mendirikan pos pemeriksaan di pusat pemerintahan Nagorno-Karabakh, Step­a­nakert, sebagai sebahagian syarat perjanjian yang melihat Armenia menyerahkan wilayah yang ditawan tentera Azerbaijan dalam pertempuran itu.

Misi pengaman Moscow turut melibatkan anggota tentera Rusia yang sebelum ini ditempatkan di Syria. Pasukan tersebut terdiri daripada kira-kira 2,000 askar untuk misi lima tahun yang boleh diperbaharui.

Kedua-dua seteru bekas negara Kesatuan Soviet itu bersetuju untuk mengakhiri permusuhan awal minggu ini selepas Rusia, Perancis dan Amerika Syarikat berusaha merundingkan gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran selama hampir dua bulan.

Syarat utama gencatan senjata itu termasuk Armenia memulangkan Kalbajar dan daerah Aghdam di Nagorno-Karabakh kepada Azerbaijan menjelang 20 November ini serta daerah Lachin pada 1 Disember ini. Ketiga-tiga rantau itu diduduki orang Armenia sejak perang dahsyat pada tahun 1990-an.

Armenia mengakui kelmarin bahawa 2,317 militianya terbunuh dalam pertempuran.Kedua-dua belah pihak saling menuduh pihak lain menyasarkan infrastruktur awam.

Azerbaijan belum menyatakan korban tenteranya tetapi jumlah sebenar kematian dipercayai jauh lebih tinggi.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mendedahkan pada Jumaat lalu bahawa angka korban me­l­ebihi 4,000 orang, manakala puluhan ribu penduduk terpa­ksa meninggalkan rumah mereka.

Kalbajar dihuni etnik Azerbaijan sebelum mereka ­diusir pejuang Armenia semasa perang tahun 1990-an setelah Kesatuan Soviet berpecah. Sebahagian besar rumah yang di­tinggalkan itu adalah milik penduduk Azerbaijan.

Pemerintah Armenia secara kontroversi menyerahkan wilayah yang dirampas itu kepada etnik Armenia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI