fbpx

Mahkamah: Bekas pengarah syarikat didakwa songlap lebih RM7.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Teng Cheng ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Seorang bekas pengarah sebuah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pecah amanah milik syarikat itu bernilai lebih RM7.3 juta.

Tertuduh, Teh Teng Cheng, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Teng Cheng didakwa sebagai pengarah syarikat Intelzen Engineering Sdn. Bhd telah melakukan pecah amanah berjumlah lebih RM7.3 juta milik syarikat tersebut yang telah diamanahkan kepada tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan dalam syarikat berkenaan di Bandar Puteri Puchong antara 2 Julai 2019 hingga 3 Januari 2020.

Justeru, bapa kepada tiga orang itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM750,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di SPRM Putrajaya setiap awal bulan.

Bagaimanapun, Peguam Nur Syamimi Adriana Shaharim memohon jaminan dikurangkan dengan mengambil kira kedudukan ekonomi termasuk penjamin (isteri tertuduh).

“Akaun tertuduh dan penjamin telah dibekukan dan hanya bergantung kepada wang tunai dimiliki mereka. Justeru, mohon bayaran secara berperingkat.

“Syarikat tempat tertuduh juga telah digulungkan dengan pihak penglikudasi akan ‘masuk’ dalam seminggu ini,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM150,000 dengan bayaran dalam dua peringkat iaitu RM80,000 pada hari ini dan bakinya RM70,000 dalam tempoh seminggu bersama seorang penjamin.

“Tertuduh juga dilarang berkomunikasi dengan mana-mana kakitangan syarikat. Saya juga membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI