fbpx

Liga Super: Sri Pahang menang bergaya benam Kelantan United 5-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Kelantan FC, Ismahil Akinade terjatuh semasa cuba membawa masuk bola ke kawasan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi. Foto ihsan SRI PAHANG FC

KOTA BHARU – Kelantan United FC (Kelantan United) gagal memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri apabila dibelasah Sri Pahang FC 1-5 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Turun dengan misi meraih kemenangan, Kelantan United dikejutkan dengan jaringan awal Sri Pahang pada minit ke-10 menerusi rembatan jarak jauh Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, tepat melepasi jangkauan penjaga gol Kelantan United, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

12 minit kemudian, Sergio Aguero yang tidak dikawal bijak menghukum kelalaian benteng pertahanan tuan rumah menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh Muhamad Ilham Amirullah.

Aguero menambah koleksi gol peribadinya pada minit ke-27 apabila sepakan lintangnya menuju tepat ke dalam gawang Kelantan United.

Ketinggalan tiga gol, Kelantan United cuba bangkit, namun terus dihantui ketumpulan penyudah selain jaringan Mohd. Syazwan Zainon hasil tidak dikira kerana didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Kedudukan 0-3 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Ketumpulan penyudah Kelantan United ternyata menjadi masalah utama skuad kendalian Ailton Silva apabila banyak peluang yang hadir gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan pada babak kedua.

Tok Gajah bagaimanapun, sekali lagi merobek gawang Sang Kijang Hijau menerusi rembatan pemain penyerang, Kpah Sherman pada minit ke-66.

Kelantan United akhirnya memperoleh gol pertama apabila melalui rembatan Royyizat Daud menewaskan penjaga gawang pelawat, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-77.

Memasuki masa kecederaan, David Rowley menghukum kerapuhan benteng tuan rumah dengan jaringan kelima untuk memuktamadkan kemenangan bergaya Tok Gajah.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan United kekal di tangga ke-12 Liga Super dengan lapan mata manakala Sri Pahang berada di landasan terbaik untuk memintas Sabah FC selepas memperoleh 40 mata.

Bagaimanapun, Sri Pahang ketika ini kurang dua perlawanan daripada Sabah FC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI