AMPANG – Dua bumbung sebuah flat dan gerai diterbangkan ke kawasan perumahan sekitarnya dalam kejadian ribut di Jalan Hilir 4, Taman Ampang Hilir, Ampang, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas mengalihkan bumbung itu pada pukul 4.49 petang.
Katanya, seramai lima orang anggota bersama sebuah jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pandan bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati bumbung rumah flat dan bumbung gerai di kawasan tersebut diterbangkan ribut menyebabkan laluan masuk ke kawasan perumahan teres terhalang.
“Komander operasi mengarahkan anggota mengalihkan bumbung yang menghalang laluan bersama-sama Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan orang awam sehingga tiada lagi ancaman pada penduduk,“ katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan dan pemeriksaan seterusnya diserahkan kepada pihak MPAJ dan Polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan kawasan sekeliling selamat, jentera bersama anggota bertolak ke balai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.