KUALA LUMPUR – Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari menampilkan aksi bertenaga untuk merangkul Trofi Tuanku Muhriz 2023 di Pusat Skuasy Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Haji Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Pilihan pertama kejohanan itu berjaya mengenepikan penyandang juara, Aira Azman pada aksi final dengan keputusan 11-8, 11-8, 11-9, sekali gus meraih gelaran pertama untuk dirinya pada tahun ini.
Sebagai juara, Sivasangari meraih trofi dan hadiah wang tunai bernilai AS$ 15,000 (RM69,600).
“Saya bersyukur kepada Tuhan di atas kejayaan ini kerana jika saya kenang kembali apa yang terjadi kepada diri saya tahun lalu, saya sendiri tidak pasti sama ada saya masih boleh bermain skuasy.
“Saya seronok dapat kembali ke gelanggang semula. Lebih manis saya berjaya memenangi kejohanan ini dan saya harap dapat meneruskan momentum,” katanya.
Kejayaan itu menjadi pembakar semangatnya selepas tidak dapat menyertai kejohanan tahun lalu kerana masih dalam pemulihan daripada kemalangan jalan raya.
Selepas ini, Sivasangari akan terbang ke Doha, Qatar bagi menyertai Kejohanan Skuasy Q Terminal Qatar Classic yang akan berlangsung minggu hadapan.
Sementara itu, aksi kategori lelaki menyaksikan pemain Mesir, Aly Hussein berjaya menumbangkan pilihan kedua, Muhammad Asim Khan dari Pakistan 11-3, 11-1, 11-4 untuk menjuarai edisi kali ini. – KOSMO! ONLINE