DALAM kehidupan ini, tidak semua dilahirkan dengan kesempurnaan. Ada individu yang harus menerima ujian apabila mereka tidak sesempurna insan lain.
Orang buta antara individu yang harus menerima ujian itu apabila kehilangan salah satu pancaindera mereka.
Meskipun golongan tersebut kurang bernasib baik, namun mereka tidak boleh dipinggirkan oleh manusia sempurna lain.
Sebaliknya, golongan itu harus disantuni dengan baik dalam semua perkara supaya mereka dapat meningkatkan keyakinan diri untuk bergaul dengan masyarakat.
Oleh demikian, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Rekreasi Air Sisiran Floria, Putrajaya telah menganjurkan program ‘Menyusur Jalur Cahaya: Kami Sentiasa Di Sisi’ bagi menyantuni ahli Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, program itu dapat meningkatkan keyakinan dan ketekalan orang kurang upaya (OKU) penglihatan serta memupuk budaya sukan dalam kalangan masyarakat.
“Saya percaya pelaksanaan program ini dapat memberikan impak positif bukan sahaja kepada golongan OKU penglihatan, malah membina keyakinan diri mereka untuk terus aktif,” katanya.
Pada masa sama, beliau merasmikan pelepasan peserta berkayak yang telah mencipta sejarah dalam Malaysia Book Of Records iaitu Most Visually Impaired Participants In A Kayaking Program.
Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Pendaftar UPM, Muhazam Mansor, Dekan FPP, UPM, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar, Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Pengarah
Alam Sekitar Perbadanan Putrajaya, Ruhselah Ismail dan Presiden MAB, Datuk George Thomas.
Selain itu, seramai 120 orang peserta telah menyertai program itu yang terdiri daripada 60 orang wakil MAB dan 60 fasilitator.
Program itu juga bertujuan menambah keyakinan diri peserta dalam sukan air, memupuk semangat setia kawan dalam kalangan orang istimewa dan meningkatkan minat serta penghayatan terhadap aktiviti kayak.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani, FPP, UPM, Muhammad Faaiz Muhammad Rafee memaklumkan, program itu merupakan pengalaman pertamanya terlibat bersama golongan OKU penglihatan.
“Walaupun tidak dapat melihat, namun saya sangat kagum dengan semangat positif mereka dalam mengharungi kehidupan.
“Semangat ini wajar dicontohi. Sebagai insan normal, ia memberi inspirasi kepada saya untuk meningkatkan kemahiran insaniah,” jelasnya.
Sementara itu, ahli MAB, Mohd. Yusaini Yusop berkata, program itu memberi manfaat kepadanya dalam pengendalian kayak.
Ujarnya, ia juga mampu membina keyakinan diri dan pengetahuan dalam aktiviti sukan air.
“Saya bangga dapat menyertai aktiviti ini serta yakin dengan kebolehan diri.
“Saya juga berasa gembira kerana UPM mengadakan program ini.
“Saya harap ia akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, penganjuran program itu adalah sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 bagi melahirkan graduan berdaya tahan dalam mendepani cabaran mendatang.