fbpx

Mat Sabu ketinggalan sejarah – Hadi Awang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL HADI (tengah) menjawab soalan pengundi Parlimen Pulai semasa Majlis Dialog Rakyat Bersama Presiden Pas di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai tidak tahu sejarah negara apabila mengatakan Perikatan Nasional (PN) memainkan isu sensitif seperti sebelum tahun 1969.

Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, sokongan diterima PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri lalu, telah membuktikan sebaliknya.

“Mohamad Sabu dia ketinggalan sejarah, itu sejarah lama dan dia tidak tahu sejarah baharu kerana perkara yang berlainan, jadi mengapa dia bawa cerita lama semula.

“Jika benar Pas ekstremis, bagaimana kita boleh dapat undi masyarakat di Pulau Pinang dan Selangor? Ini bukti ada orang bukan Islam sokong kita. Masyarakat bukan Islam lain boleh tengok sendiri keadaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, bukan jauh.

“Pergi sana dan tengok, lihat bagaimana kita (PN) mentadbir,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Dialog Rakyat Bersama Presiden Pas yang diadakan di Taman Tampoi Utama, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta calon PN bagi PRK Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Semalam, Mohamad yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mendakwa pembangkang menggunakan kaedah ekstremis dengan memainkan isu agama dan kaum bagi menarik sokongan sehingga dibimbangi akan menyebabkan berlaku pergeseran perkauman seperti sebelum tahun 1969.

Beliau dilaporkan berkata, pembangkang mendakwa kononnya agama Islam dan kaum Melayu terancam di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Hadi turut memberitahu perbezaan agama dan kaum bukan masalah besar buat gabungan itu menarik sokongan pengundi bukan Melayu dan Islam khususnya melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ini kerana katanya, PN terdiri daripada beberapa parti komponen termasuklah Gerakan, selain daripada Pas dan Bersatu turut mempunyai sayap dalam menarik sokongan keahlian bukan Melayu dan Islam.

“Tiada masalah (tarik sokongan bukan Melayu dan Islam), Bersatu ada cabang bukan Melayu, Pas ada cabang bukan islam melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). Kita sendiri lihat bagaimana respon daripada mereka.

“Kita terima sokongan daripada bekas ahli DAP, bekas ahli PKR, itu bukti,” jelasnya sambil memaklumkan kempen PN dalam dua PRK di Johor ketika ini berjalan lancar dan menerima sambutan baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI