fbpx

Langkawi sudah murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LANGKAWI – Jika sebelum ini, orang ramai enggan bercuti ke Pulau Langkawi disebabkan kos penginapan dan makanan yang mahal, namun situasi itu berubah sebaliknya pada musim cuti sekolah ini apabila mereka mendapati harga yang ditawarkan berpatutan ketika ini.

Malah, promosi yang dibuat pihak penginapan termasuk hotel juga menguntungkan pelancong untuk bercuti bersama keluarga di pulau peranginan terkenal di Kedah itu.

Tinjauan di sekitar kawasan tumpuan pelancong terutama di Pantai Chenang di sini, sempena cuti persekolahan kali ini mendapati rata-rata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan dan harga ditawarkan.

Seorang pelancong dari Cyberjaya, Nurul Ain Roslan, 35, berkata, dia mendapat tawaran yang berpatutan dari hotel yang ditempah sejak enam bulan lalu untuk percutian ini.

“Saya bawa kira-kira 70 orang sempena hari keluarga sebelah bapa di sini dan walaupun kali terakhir kami ke Langkawi lebih 10 tahun lalu, tetapi saya rasakan layanan yang kami terima adalah sangat baik kali ini.

“Saya tidak menyangka banyak pakej berpatutan yang disediakan oleh hotel termasuk makanan sebanyak enam kali sehari beserta kemudahan dewan walaupun ia bukanlah hotel mewah,” katanya di sini semalam.

Berkongsi pengalaman sama adalah pelancong dari Kuala Perlis, Rosnita Ismail, 56, yang menyatakan harga makanan yang dinikmatinya lebih murah berbanding kali terakhir dia menje­jakkan kaki ke Pantai Chenang.

“Saya rasa dahulu makanan di Chenang ini lagi mahal, sekarang lebih murah.

“Saya sendiri sudah lama tidak ke sini, mungkin lebih lima hingga enam tahun, jadi tular harga makanan Langkawi mahal, itu tidak benar,” ujarnya.

Tambah Rosnita, pengguna seharusnya perlu bijak memilih kerana banyak kedai menawarkan harga berpatutan.

Sementara itu, seorang pekerja kedai barangan cende­rahati di sini, Hanani Aziz, 25, berkata, jumlah pelancong le­bih ramai daripada biasa, namun keadaan itu lebih ketara pada waktu malam.

“Alhamdulillah ramai pelancong yang akan singgah ke kedai, rasa meriah sedikit. Pada waktu siang kebanyakan mereka akan melawat tempat lain.

“Kalau waktu malam, memang ramai yang akan berjalan di sepanjang jalan dan melihat persembahan api di Pantai Chenang,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI