KUALA LUMPUR – Notis kompaun dan arahan penutupan serta merta dikenakan terhadap premis yang menganjur tarian separa bogel di Jalan Bukit Bintang yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menjalankan satu tindakan khas di premis tersebut 23 Ogos lalu.
Tambahnya, siasatan dan pemantauan mendapati premis tersebut mempunyai lesen komposit kedai runcit/ serbaneka/ pasar mini (barangan kering sahaja) bagi menjalankan aktiviti pasar raya.
“Bagaimanapun, premis tersebut dikendalikan oleh empat orang pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“Dua daripadanya adalah warganegara Bangladesh dan dua lagi merupakan warga negara Iran.
“Oleh itu, DBKL mengeluarkan satu notis kompaun kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana menjalankan aktiviti selain yang dilesenkan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah kenyataan itu, premis tersebut juga diarahkan untuk ditutup serta merta kerana dikendalikan oleh bukan warganegara.
Dalam perkembangan lain, DBKL turut memaklumkan kejadian tular tentang tarian separa bogel yang berlaku dahulu bersempena dengan sambutan ulang tahun premis tersebut.
Katanya, perkara itu berdasarkan makluman yang diterima daripada pekerja premis tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan aksi sekumpulan wanita menari separuh bogel dipercayai berlaku di Bukit Bintang sehingga mencetuskan kekecohan di media sosial.
Menerusi perkongsian klip video di TikTok menunjukkan beberapa wanita dengan pakaian mencolok mata, menari diiringi lagu di hadapan sebuah premis di lokasi tersebut.
Trend menari yang dipanggil sebagai ‘ki dance re vhai’ itu merupakan antara persembahan sempena sebuah acara yang berlangsung di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE