fbpx

Projek biogas kilang sawit RISDA jana 14.8 juta kWj tenaga setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (empat dari kanan) merasmikan Projek Biogas Kilang Sawit RISDA Ulu Keratong, di Kuantan hari ini.

ROMPIN – Projek biogas diperkenalkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui kilang sawit milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dijangka mampu menjana kira-kira 14.8 juta Kilowatt-jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghasilan tenaga terbabit mampu memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 isi rumah atau secara purata kira-kira 15,000 pengguna akses kepada tenaga elektrik.

“Penghasilan tenaga sebesar ini sekali gus berupaya menyelesaikan masalah akses bekalan elektrik bagi sebahagian kawasan di desa dan pedalaman, mereka yang selama ini terjejas kini berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Inisiatif ini tidak hanya menjadikan sumber tenaga lebih lestari tetapi kita juga membuka pintu ke arah pembangunan yang lebih inklusif,” katanya pada majlis perasmian Projek Biogas Kilang Sawit RISDA Ulu Keratong, di sini hari ini.

Tambahnya, projek terbabit juga dilihat mampu merubah landskap ekonomi sekali gus memberi impak positif terhadap alam sekitar dan kehidupan sosial khususnya kepada komuniti desa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek terbabit merupakan inisiatif KKDW melalui RISDA sebagai solusi menguruskan alam sekitar dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa secara menyeluruh dan berkesan demi mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon menjelang 2040.

“Projek biogas dari sisa POME (sisa akhir efluen kelapa sawit) ini bukan sekadar membawa manfaat ekonomi dan alam sekitar tetapi juga membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga dari sumber bahan api fosil yang menghasilkan pelepasan karbon yang tinggi.

“Dalam konteks projek biogas ini juga, sisa atau bahan buangan diubah menjadi sumber yang mempunyai nilai ekonomi untuk manfaat masyarakat, ia menjadi langkah penting untuk mencapai sasaran negara ke arah penghasilan 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang menjelang 2035,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, pembangunan projek melalui proses rawatan sisa perahan minyak kelapa sawit itu juga mampu menjana kelestarian alam sekitar dengan pengurangan kira-kira 72,000 tan karbon dioksida setahun.

Katanya, usahasama itu juga dapat mengintegrasikan kepakaran dan penggunaan pelbagai sumber yang cekap antara kedua-dua pihak demi mencapai matlamat kelestarian desa ditetapkan.

“Selain memacu aspirasi, projek ini juga adalah sebahagian daripada program ‘Waste to Wealth’ atau penukaran sisa kepada pendapatan, bagi membangunkan ekonomi mampan dan lestari di bawah teras pembangunan Kementerian,” katanya.

Sementara itu katanya, sejajar dengan pelaksanaan projek itu juga masyarakat desa berpotensi menerima pelbagai manfaat ekonomi seperti penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan kemudahan prasarana dan bekalan tenaga alternatif.

Beliau memberitahu Risda juga akan menerima manfaat melalui perkongsian pendapatan dan sewaan tanah yang menjadi satu kemenangan bersama kepada semua pihak yang terlibat.

“Operasi pembangunan projek biogas ni dianggarkan akan mengambil masa selama tiga tahun dengan keupayaan untuk beroperasi secara optimum selama 21 tahun.

“Ini bermakna, selama tempoh itu kesan berantai atau ‘dominos effect’ yang boleh kita lihat adalah wujudnya berbagai-bagai perusahaan kecil dan sederhana di kawasan-kawasan yang terlibat antaranya, sektor pembekalan untuk bahan binaan, perkhidmatan logistik, perusahaan makanan dan minuman, homestay dan banyak lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI