TANGKAK – Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Sungai Bilah, Bukit Gambir di sini pagi hari ini.
Menurut Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.16 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 6 x 12 meter musnah 80 peratus. Dalam kejadian ini, seorang warga emas lelaki berusia 81 tahun rentung di temui di bahagian dapur.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 500 kaki dua nozel sumber air pam jentera dan air terbuka. Kebakaran dapat dikawal kira-kira 40 minit kemudian pada pukul 6.54 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mangsa disahkan maut oleh pihak KKM yang turut hadir di lokasi kejadian dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd.Taib berkata, sehingga kini polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
“Mangsa masih bujang dan menetap berseorangan ketika kejadian. Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk menyalurkan informasi kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai kejadian. – KOSMO! ONLINE