LONDON – Jaringan awal dan lewat permainan yang diperoleh Fulham ‘menghadiahkan’ kekecewaan buat Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang terpaksa berpuas hati menyaksikan pasukannya meraih satu mata selepas diikat 2-2 di Emirates kelmarin.
The Gunners bolos ketika aksi baharu berusia 57 saat selepas Andreas Pereira pantas menghidu kesilapan yang dilakukan pemain tuan rumah sebelum Joao Palhinha menyelamatkan Fulham dengan gol penyamaan pada minit ke-87.
“Kami berdepan situasi ini beberapa kali, hilang bola di kawasan bahaya dan bagi saya penyudah (Pereira) itu cukup hebat. Kami menjadikan diri kami dalam keadaan sukar, namun kami memberikan reaksi dengan baik untuk mendahului perlawanan.
“Kami menguasai permainan, cipta banyak peluang dan sepatutnya kami mampu jaringkan lima, enam atau tujuh gol. Tetapi, apabila kami lakukan perkara sukar seperti ini, kami juga perlu pertahankan gawang sendiri,” katanya.
Selepas Fulham mendahului aksi, Bukayo Saka dan Eddie Nketiah berjaya mengembalikan kebangkitan Arsenal selepas menjaringkan kedua-dua gol, namun mereka gagal mempertahankan kelebihan tersebut walaupun lawan mereka itu terpaksa beraksi 10 pemain.
“Kami sepatutnya menunjukkan komitmen dan keazaman yang tinggi untuk mencatat kemenangan. Menentang lawan yang bermain 10 pemain, anda sepatutnya tidak boleh kalah.
“Itu adalah satu-satunya peluang yang dimiliki oleh mereka dan kami dihukum. Kemudian, kami memiliki dua lagi peluang, namun tidak berjaya disempurnakan,” jelasnya. – AGENSI