MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag memuji aksi dan sikap yang dipamerkan oleh kapten pasukannya, Bruno Fernandes ketika pasukan itu meraih kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest di Old Trafford kelmarin.
Fernandes juga berjaya menunjukkan daya kepimpinan dengan menaikkan semangat rakan sepasukan ketika mereka ketinggalan 0-2 seawal lima minit pertama perlawanan, tetapi berjaya mempamerkan kebangkitan.
Pada aksi berkenaan, bintang Portugal itu berjaya melakukan umpanan ketika Casemiro menjaringkan gol penyamaan sebelum dia mencetak nama selaku penjaring menerusi sepakan penalti selepas Marcus Rashford dijatuhkan dalam kotak penalti.
“Dia tenang dan berjaya mengawal emosi. Dia juga cukup bijak ketika memulakan gerakan serangan selain berjaya melakukan kelainan buat pasukan. Saya sangat gembira menyaksikan persembahan diberikan,” katanya.
Pada aksi berkenaan, United berdepan pengalaman pertama dalam sejarah era Liga Perdana Inggeris apabila ketinggalan dengan dua gol dalam tempoh berkenaan sehingga menimbulkan persoalan mengapa situasi tersebut berlaku.
Bagaimanapun, Ten Hag tidak mahu terperangkap dengan persoalan berkenaan, sebaliknya berpuas hati dengan respons diberikan oleh para pemain untuk mendapatkan kemenangan biarpun ketinggalan dengan dua gol.
“Kami menunjukkan semangat dan tenaga yang luar biasa. Kami pernah melakukannya (kebangkitan) sebelum ini. Apabila anda bermula dengan buruk, anda perlu segera mengubahnya walaupun ia bukan mudah.
“Saya memuji apa yang telah dilakukan oleh pemain. Kami memiliki personaliti, namun dalam keadaan tertentu, kami perlu meningkatkannya lagi,” jelasnya. – AGENSI