KLANG – Dua terselamat selepas kenderaan dipandu mereka termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire terbakar setelah terlibat dalam kemalangan selang 33 minit sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Kedua-dua mangsa berusia 20-an dan 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, panggilan kecemasan pertama diterima pukul 2.10 pagi melibatkan kemalangan di Lebuh Raya Pulau Indah, Taman Telok Godung Indah.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mendapati kereta jenis Perodua Axia terbabas melanggar sebatang pokok di bahu jalan sebelum terbakar.
“Mangsa berusia 20-an berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan. Kebakaran kereta berjaya dipadam sepenuhnya pukul 2.40 pagi dengan anggaran kemusnahan 95 peratus,” katanya hari ini.
Menurut beliau, kebakaran kenderaan kedua diterima pukul 2.43 dengan tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja bergegas ke Jalan Perdana Indah.
Tambah Ahmad Mukhlis, MPV jenis Toyota Vellfire dipandu lelaki berusia 39 tahun dipercayai melanggar belakang kereta jenis Audi di laluan sama.
“Akibat kemalangan itu, Vellfire berkenaan terbalik dan terbakar sebelum api berjaya dikawal pukul 3.10 pagi. Kereta Audi tersebut yang tidak terbakar ditarik dan dibawa ke balai polis dengan pemandunya juga tidak cedera,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE