MELAKA – Kira-kira 11 pelanggan termasuk kanak-kanak dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang menjamu selera di Medan Selera Tanjung Kling di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.43 petang melibatkan sebuah MPV jenis Toyota Avanza.
Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun diarahkan oleh ibunya untuk memanaskan enjin kenderaan terbabit.
“Apabila masuk ke dalam kenderaan, remaja itu bagaimanapun tertekan pedal minyak dan mengubahnya kepada gear kepada mengundur (R).
“MPV itu mengundur secara mengejut dan menyebabkan berlakunya perlanggaran dengan sebuah Proton Suprima S yang diparkirkan di sebelahnya sebelum merempuh pelanggan yang sedang menjamu selera di belakang,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa pelanggan dipercayai cedera akibat pelanggaran itu, namun sehingga kini tiada yang tampil membuat laporan polis.
“Kita percaya ada pelanggan yang cedera, tetapi tidak datang membuat laporan polis mahupun rawatan di hospital.
“Jadi kita tidak dapat sahkan berapa yang cedera atau jumlah mangsa terlibat dalam kemalangan itu,” katanya.
Ujarnya, siasatan masih diteruskan dengan bantuan televisyen litar tertutup (CCTV) di medan selera tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE