PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Sabah dan Sarawak, pagi ini.
Menurut laporan MetMalaysia di laman Facebook, cuaca buruk diramal berlarutan sehingga pukul 12 tengah hari.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat), Kapit (Song) dan Miri (Subis dan Miri), Sarawak.
“Di Sabah, hujan lebat diramal di Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) serta di WP Labuan,” katanya.
Tambah MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimiter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE