ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC menyekat sementara hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat sejarah sebagai juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut di Stadium Darul Aman sebentar tadi selepas pasukan tuan rumah berjaya mengikat skuad Harimau Selatan dengan keputusan 3-3.
Gol pertama tuan rumah hadir pada minit ke-35 apabila penyerang utama KDA FC, Ifedayo Olusegun menanduk bola hasil sepakan penjuru diambil Manuel Hidalgo tanpa dapat dijangkau Ahmad Syihan sekali gus menggamatkan stadium yang dipenuhi lebih 12,000 penonton.
Melihat keadaan itu, JDT membuat pertukaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan Shane Lowry serta Endrick Dos Santos bagi menggantikan Feroz Baharuddin serta Takahiro Kunimoto.
Percaturan Solari itu bagaimanapun gagal memperlahankan rentak Sang Kenari apabila mereka menghasilkan gol kedua pada minit ke-50 menerusi jaringan kapten pasukan, Manuel Ott.
JDT selepas itu menunjukkan kebangkitan serta tidak menunggu lama untuk mengejar. Pada minit ke 51, pertahanan kanan mereka, Corbin Ong berjaya menewaskan Ifwat buat kali pertama menerusi tandukan setelah menerima hantaran dari Lowry.
Hanya empat minit berselang, penyerang prolifik JDT, Heberty Fernandes berjaya menyamakan kedudukan apabila dia yang tidak dikawal, melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti setelah menerima hantaran dari pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi.
Di sebalik keghairahan KDA FC menyerang, Arif Aiman memperdayakan sekurang-kurangnya empat pemain Sang Kenari sebelum melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti untuk gol ketiga Harimau Selatan pada minit ke-73.
Ketika JDT sudah bersedia untuk berpesta, pemain gantian dari Tajikistan, Amirbek Juraboev menghampakan mereka apabila membuat menjaringkan gol pada minit ke-90 untuk kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada akhir perlawanan. – KOSMO! ONLINE