SABAK BERNAM – Perbuatan jahat seorang pemuda mencuri 15 biji kelapa dan satu unit bateri kenderaan di Kampung Batu 38 Baruh di sini, mengundang padah apabila dicekup polis semalam.
Suspek berusia 22 tahun ditahan pukul 8.20 malam di hadapan sebuah bank di pekan ini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, siasatan awal mendapati suspek dengan menaiki sebuah lori telah mengait 15 biji kelapa dan mencuri bateri di stor bersebelahan rumah mangsa berusia 34 tahun.
“Aktiviti suspek itu disedari isteri mangsa sebelum menghubunginya.Susulan insiden tersebut, mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Bertindak atas laporan itu, polis kemudiannya mengesan dan menahan suspek di hadapan sebuah bank di pekan daerah ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Agus, soal siasat terhadap suspek membawa penemuan satu unit bateri kenderaan disyaki dicuri suspek di sebuah rumah sekitar Batu 40 di sini.
Jelas beliau, semakan pihaknya mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan pecah rumah.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE