JOHOR BAHRU – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diingatkan tidak bermain persepsi dan menghasut pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk bereksperimen dengan memberikan kemenangan kepada PN.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, tindakan itu menimbulkan kekeliruan setelah parti pembangkang itu tidak menjanjikan apa-apa kepada pengundi di kawasan yang diajak untuk melakukan perubahan.
“Saya agak pelik dan keliru mengapa Sanusi cuba bermain dengan persepsi sedemikian sedangkan tidak mengemukakan apa yang cuba PN ingin bawa kepada Johor. Jika cita-cita beliau ingin membawa gelombang PN, sepatutnya beliau perlu nyatakan apa yang mahu dibawa PN ke negeri ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kelmarin, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan berkata ada menyebut PRK Simpang Jeram akan menjadi pintu masuk kepada ‘gelombang PN’ di Johor.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, Johor tidak perlu untuk bereksperimentasi kerana pentadbiran 17 bulan kerajaan negeri ketika ini telah kemukakan pelbagai Ikhtiar dan insiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan.
Mohd. Hairi turut mengingatkan Menteri Besar Kedah itu jangan sesekali berani bermain sentimen dan menyentuh Institusi Diraja Johor.
“Di Johor ada cara Johor. Bangsa Johor ada identiti tersendiri dan politik di sini juga ada caranya yang tidak terikut dengan negeri lain. Jangan terlalu taksub bermain persepsi, tapi raikan pesta demokrasi ini dengan idea dan solusi,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE