fbpx

Denmark rangka RUU hukuman penjara jika bakar al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan protes menentang al-Quran dibakar di Malmo, Sweden pada 28 Ogos 2020. - AFP

COPENHAGEN, Denmark – Kerajaan Denmark merangka rang undang-undang (RUU) me­larang perbuatan menghina atau memusnahkan barang keagamaan secara terbuka, kata Menteri Kehakiman, Peter Hummelgaard seperti dilaporkan portal berita RT kelmarin.

Beberapa kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Denmark baru-baru ini menyebabkan hubungan Copenhagen dan negara-negara Islam menjadi renggang.

Bercakap kepada pemberita kelmarin, Hummelgaard berkata, kerajaan Denmark tidak lama lagi akan membentangkan RUU yang melarang pengendalian tidak sesuai objek keagamaan penting.

Beliau berkata, RUU itu membolehkan hukuman dilaksanakan terhadap pelaku sekiranya al-Quran, kitab Injil atau Taurat dibakar di khalayak ramai.

Menurutnya, insiden pembakaran al-Quran baru-baru ini memberi tanggapan bahawa Denmark ialah sebuah negara yang memudahkan penghinaan terhadap negara dan agama lain.

Kata Hummelgaard lagi, perbuatan sedemikian membahayakan keselamatan penduduk Denmark sama ada di dalam dan luar negara.

Tambahnya, jika RUU tersebut diluluskan, mereka yang membakar teks suci atau objek keagamaan lain boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga dua tahun.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila Parlimen Denmark dijangka mengundi RUU tersebut.

RUU sama ditolak oleh parti-parti pembangkang Denmark yang berpendapat bahawa la­rangan membakar al-Quran akan mencabuli hak kebebasan ber­suara.

Hummelgaard menjawab kritikan pembangkang dengan me­nyatakan, beliau percaya terdapat cara lebih beradab untuk menyatakan pandangan seseorang daripada melakukan perbuatan biadab seperti membakar kitab suci agama lain.

Pada Julai lalu, Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen membayangkan bahawa Copenhagen sedang mencari skop undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa menghalang al-Quran dibakar di hadapan kedutaan negara lain di Denmark.

Rasmussen menegaskan, tindakan membakar al-Quran yang sangat menyinggung perasaan orang Islam dan melulu itu tidak mewakili ciri masyarakat Denmark.

Namun, beliau berkata, sebarang langkah yang diwujudkan untuk menghentikan perbuatan sedemikian pada masa hadapan mesti tidak menyekat kebebasan bersuara yang dilindungi oleh perlembagaan.

Negara jiran Denmark, Sweden yang mana kedua-duanya merupakan anggota Kesatuan Eropah (EU), turut menyaksikan episod membakar al-Quran sejak beberapa minggu lalu.

Sweden yang merupakan jiran Denmark juga berusaha untuk mengharamkan teks agama daripada dicemari tanpa melanggar hak kebebasan bersuara yang dilindungi perlembagaan negara.

“Bukan semua yang sah adalah wajar,” kata Perdana Menteri Sweden, Ulf Kirstersson awal bulan ini.

Beliau menambah, Sweden juga akan melaksanakan kawalan sempadan yang lebih ketat.

Ia bertujuan bagi menghalang mana-mana orang datang ke Sweden untuk melakukan jenayah atau tindakan yang me­langgar kepentingan keselamatan negara. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI