PETALING JAYA – Kekecohan isu poligami yang mengundang pelbagai respons negatif dalam media sosial menjentik hati pelakon Zarina Zainuddin untuk tampil dengan satu sudut pandangan berbeza.
Seiring situasi sendiri yang hidup bermadu, Zarina mengakui tidak melihat perkara tersebut sebagai masalah besar, sebaliknya satu situasi yang ada kebaikan.
Jelas Zarina atau nama lengkapnya Nur Zarina Mohd Zainuddin, amalan poligami bukan kesalahan sekiranya seorang suami itu mampu dari segi zahir dan batin, sekali gus dapat membesarkan keluarga.
“Pendapat saya, kalau seseorang lelaki itu berkemampuan, apa salahnya dia nak menanggung keluarga lain (keluarga isteri kedua), kerana itu juga berkongsi rezeki.
“Secara tidak langsung, lelaki tersebut mampu membina satu keluarga yang besar, seterusnya besarlah lagi keturunan dia.
“Namun poligami biarlah dengan cara yang betul. Kalau kita nak kata suami kita tu 100 peratus adil, memang takkan ada,” katanya menerusi perkongsian dalam TikTok.
Bercakap berdasarkan pengalaman sendiri sebagai individu yang menjalani kehidupan bermadu, Zarina berpendapat bahawa seorang isteri haruslah reda dan memudahkan urusan suami
“Isteri kena reda, tahu tempat dia, sedar bermadu dan perlu pandai isi masa supaya terlalu fikir sangat tentang suami. Jangan memberatkan suami, perasaan suami, sakit kepala suami nak fikir pasal isteri-isterinya.
“Bagi saya, tugas suami tanggung nafkah zahir dan batin, cukup lah kita dah ada suami yang jaga kita elok-elok. Apa yang penting, kita ada individu untuk mengadu.
“Perempuan tidak perlu bermusuh sebaliknya melindungi antara satu sama lain, jangan pernah ada perasaan negatif malah bersyukur dengan kurniaan Tuhan,” ujarnya.
Paling utama kata Zarina, isteri sepatutnya memberi keizinan kepada suami untuk berkahwin lain daripada dia melakukan perkara tidak baik di belakang.
Zarina mendirikan dengan Datuk Seri Raihan Wan Jaafar sebagai isteri kedua pada 13 Julai 1993.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak lelaki iaitu sepasang kembar termasuk Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil) yang menghidap autisme. – KOSMO! ONLINE.